PETALING JAYA – Bekas penyampai radio Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mariamah Tijo meninggal dunia pada usia 76 tahun, awal pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak Allahyarhamah melalui satu hantaran di Facebooknya pagi tadi.
“Ibunda saya, Hajah Mariamah Tijo telah pulang ke Rahmatullah pada pukul 5 pagi tadi, Khamis 23 April 2026, semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin,” katanya.
Sementara itu, RTM dalam satu hantaran berkata, Mariamah merupakan seorang tokoh legenda penyiaran dan antara kakitangan perintis di RTM.
“Allahyarhamah amat dikenali sebagai pembaca berita dan juruhebah radio yang mempunyai suara yang cukup ikonik dan klasik.
“Allahyarhamah merupakan antara suara emas yang menghiasi corong radio RTM.
“Gaya penyampaiannya sering disifatkan sebagai penuh dengan kesantunan bahasa dan profesionalisme tinggi,” katanya.
Selain membaca berita, Mariamah juga aktif dalam drama radio dan pelbagai rancangan terbitan RTM.
“Pada Mac 2024, beliau telah terpilih sebagai salah seorang penerima bantuan di bawah inisiatif Tabung Kasih@hawana.
“Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tanda menghargai jasa beliau dalam dunia kewartawanan dan penyiaran negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














