PETALING JAYA – Berang dengan tindakan berlumba di jalan raya, pelakon Kamal Adli menyelar sikap pemandu degil yang mengakibatkan kemalangan tragis di Simpang Renggam, Johor sehingga meragut lima nyawa.
Kamal, 40, berkata, sikap tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya lain apabila memandu secara berbahaya mengakibatkan insan tidak berdosa lain menjadi mangsa.
“Memang bodoh boleh berlumba tengah-tengah jalan. Sibuk orang balik dari kampung. Sampai orang tak bersalah yang meninggal!
“Bodoh gila! Yang langgar elok pula hidup! Tempatkan mereka (mangsa) bersama orang-orang beriman,” tulisnya dalam hantaran di Threads.
Perkongsian dibuat pelakon filem Conquer: Lahad Datu itu meraih perhatian ramai yang turut menzahirkan rasa sedih dengan nasib yang menimpa mangsa.
Malah rata-rata berharap tindakan undang-undang paling berat dikenakan terhadap pelaku yang didakwa memandu secara berbahaya.
Hari ini, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut yang mengorbankan lima nyawa, termasuk empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam, semalam.
Perintah reman sehingga esok itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh dilapor berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki memandu kenderaannya secara melulu bersama-sama sebuah kereta BMW 530e yang dipandu abangnya berusia 22 tahun.
Beliau berkata kemalangan pada 1.15 tengah hari itu berlaku apabila BMW 530e hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz.
Akibat daripada perlanggaran tersebut, empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Abang suspek pula dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE














