BRIGHTON – Chelsea terus mempamerkan rentak sumbang selepas dimalukan Brighton dengan kekalahan 0-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Stadium Amex awal pagi semalam.
Lebih membimbangkan, ia merupakan kekalahan kelima berturut-turut dialami The Blues tanpa menjaringkan sebarang gol, sekali gus menjadi sejarah baharu pasukan itu dalam tempoh 114 tahun.
Perlawanan itu menyaksikan Chelsea tewas dari segala aspek, termasuk penguasaan bola selain gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol pasukan tuan rumah sepanjang 90 minit permainan.
Pengurus Chelsea, Liam Rosenior yang mula terasa bahang mengkritik barisan pemainnya apabila langsung tidak menunjukkan kemahuan untuk menang dan meminta mereka mengubah sikap tersebut.
“Saya tidak boleh menerima segala aspek yang ada dalam perlawanan hari ini (semalam). Sebelum ini, saya sentiasa mempertahankan pemain tetapi kali ini sikap yang ditunjukkan tidak boleh diterima.
“Cara kami melepaskan gol juga sangat mengecewakan selain tewas dalam semua aksi perebutan bola di udara. Langsung tidak ada intensiti dalam permainan dan perkara ini perlu diubah segera,” katanya.
Menerusi keputusan itu, harapan Chelsea untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan mungkin tidak tertunai kerana dibezakan tujuh mata dengan pasukan tangga kelima, Liverpool yang kurang satu perlawanan.
“Semua pemain perlu muhasabah diri atas apa yang dipamerkan pada perlawanan hari ini (semalam). Aksi yang cukup teruk apabila langsung tidak ada semangat untuk bermain dan merebut bola,” ujar Rosenior. – AGENSI














