LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberi amaran bahawa perjuangan memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) masih belum selesai walaupun kini mereka semakin hampir memintas Arsenal.
Skuad The Citizens hanya dibezakan tiga mata di belakang Arsenal yang kini mendahului liga dengan 70 mata, namun City memiliki satu perlawanan dalam tangan yang mampu meletakkan mereka di puncak buat kali pertama tahun ini sekiranya berjaya menundukkan Burnley, Rabu ini.
Skuad bimbingan Guardiola kini dilabel sebagai pilihan utama untuk menjulang gelaran ketujuh dalam tempoh 10 musim, tambahan pula momentum kini memihak kepada mereka selepas Arsenal tewas dalam empat aksi domestik berturut-turut.
Begitupun, Guardiola enggan mendabik dada dan mahu anak buahnya kekal berpijak di bumi nyata apabila mengakui saingan masih belum berakhir dan masih banyak cabaran yang perlu dihadapi.
“Siapa yang berada di puncak liga? Bukan kami. Siapa yang mempunyai perbezaan jaringan lebih baik? Bukan kami juga. Jadi, kita perlu ambil langkah demi langkah,” katanya.
Dalam aksi penuh drama itu, penyerang berbisa City, Erling Haaland meledak gol kemenangan 25 minit sebelum tamat perlawanan, sekali gus memastikan tiga mata berharga buat City.
Arsenal berpeluang untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila dua percubaan terkena tiang gol selain kegagalan Kai Havertz menyempurnakan dua peluang keemasan di depan gawang.
Terdahulu, Rayan Cherki meletakkan City di depan sebelum kelebihan itu dipadamkan oleh Havertz yang mengambil kesempatan atas kesilapan mudah penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma. – AGENSI














