NILAI – Ketangkasan anggota bomba berjaya menyelamatkan sebuah unit flat di tingkat lima daripada musnah terbakar dala. kejadian di Sri Palma Villa, Mantin di sini petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sembilan memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.55 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin tiba di lokasi pada pukul 7.00 malam, kira-kira empat kilometer dari balai.
“Sebanyak dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Hilux digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah bilik berkeluasan 10×10 kaki persegi dalam satu unit rumah, dengan anggaran kemusnahan sekitar 20 peratus.
” Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menggunakan sistem pancur basah (wet riser) bagi mengawal api, yang berjaya dipadam sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 15 minit, iaitu pada pukul 7.10 malam,”menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terlibat, manakala punca kejadian masih dalam siasatan pihak bomba. – KOSMO! ONLINE














