KUALA LUMPUR – Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperkukuh kedudukan sebagai pengeluar teknologi pertahanan moden dengan mempamerkan pelbagai aset ketenteraan canggih sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026.
Disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pertahanan UAE dan Majlis Tawazun, Pavilion UAE pada tahun ini menampilkan pelbagai syarikat pertahanan terkemuka seperti Edge Group, Calidus, dan Resource Industries, yang mempamerkan kemajuan dalam sektor aeroangkasa, Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV), sistem darat, senjata, dan anti-dron.
Penasihat Kumpulan Pentadbiran UAE merangkap penasihat pameran pertahanan antarabangsa, Saeed Al Mansoori berkata, penyertaan UAE dalam DSA 2026 bukan sahaja menunjukkan aset terbaharu, malah memperluas kerjasama strategik dengan Malaysia.
Menurutnya, hubungan UAE-Malaysia kekal kukuh di semua peringkat termasuk kerjasama antara kerajaan (G2G), perkongsian teknologi dan latihan bersama pasukan ketenteraan.
“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang turut diiringi oleh Menteri Pertahanan, serta barisan Panglima Tentera Darat, Laut, dan Udara.
“Delegasi dari seluruh dunia turut hadir, dan ini membuktikan pengurusan delegasi di DSA amat kukuh,” katanya dalam sesi temu bual khas di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan, pameran kali ini menyaksikan minat tinggi daripada pelbagai delegasi antarabangsa termasuk Malaysia terhadap teknologi seperti dron, sistem anti-dron, radar serta sistem senjata moden yang dibangunkan oleh syarikat utama seperti Edge Group.
“Setiap pihak menunjukkan minat berbeza. Tentera darat fokus kepada sistem darat dan dron, tentera laut pula kepada keupayaan maritim, manakala tentera udara melihat kepada pesawat dan UAV,” jelasnya.
Mengulas mengenai perkembangan geopolitik semasa, beliau menegaskan UAE kekal dengan pendekatan jangka panjang yang menekankan keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau.
“Objektif kami adalah keamanan jangka panjang. Teknologi yang dibangunkan adalah untuk memastikan kestabilan, bukan dipengaruhi situasi sementara,” katanya.
Beliau menambah, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan sistem autonomi menjadi fokus utama dalam pembangunan pertahanan masa depan UAE.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan DSA sebagai platform penting bagi industri pertahanan global untuk membina rangkaian kerjasama strategik serta membuka peluang perdagangan antarabangsa.
Saeed turut menzahirkan komitmen UAE untuk terus membawa industri pertahanan Malaysia ke persada antarabangsa, termasuk memberikan pendedahan yang lebih besar kepada syarikat-syarikat tempatan di Pameran Pertahanan Antarabangsa (IDEX) 2027 di Abu Dhabi.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, industri pertahanan negara berada pada titik perubahan kritikal berikutan perkembangan sains dan teknologi.
Menurutnya, kekuatan ketenteraan tidak lagi bergantung kepada aset mahal, sebaliknya beralih kepada pendekatan baharu seperti penggunaan dron kos rendah secara besar-besaran. – KOSMO! ONLINE














