REMBAU – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang warga emas yang hilang di Kampung Sungai Layang, di sini, sejak awal bulan ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, Abdul Rahman Abu Kasim, 68, yang juga pesakit mental sejak tahun 2020 disedari tidak pulang ke rumah oleh kakaknya.
“Keluarga tampil membuat laporan polis kerana bimbang dengan kehilangan warga emas terbabit. Kebiasaannya, setiap kali orang hilang (OH) ini keluar rumah, dia akan balik semula.
“Semasa keluar rumah, OH hanya membawa pakaian dan tidak mempunyai telefon bimbit. Ciri-ciri fizikal OH ini ialah berketinggian 162 sentimeter, berat 55 kilogram, berbadan kurus, kulit kuning langsat, tiada gigi dan rambut,” katanya, di sini, hari ini.
Menurutnya, pakaian terakhir warga emas itu ialah baju kemeja serta seluar panjang lusuh dengan warna yang tidak dapat dipastikan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mazlina Dagang di talian 019-6077957 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Rembau di talian 06-6581999 atau Balai Polis Rembau di talian 06-68512222. – KOSMO! ONLINE














