fbpx
Firdaus (dua dari kiri) bersama peserta pelbagai kaum sedang menyediakan lemang.

Melayu, Cina, India sama-sama sediakan lemang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PROGRAM memasak lemang melibatkan kaum Melayu, Cina dan India yang berlangsung di Parlimen Kota Raja, Klang, Selangor baru-baru ini dilihat mampu mewujudkan perpaduan jitu.

Lemang sebagai makanan tradisi orang Melayu yang sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha sememangnya sudah terkenal dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita.

Sempena bulan Syawal tahun ini, satu program istimewa memasak lemang melibatkan pelbagai kaum telah diterajui oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Klang.

Menurut Pegawai Perpaduan Daerah Klang, Firdaus Sulaiman, program membakar lemang perpaduan tersebut telah diadakan dengan inisiatif bersama pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 99 Kebajikan Insan (Kesan) dan pengusaha Lemang Mana Lagi, Mohd. Faizal Zulkifli.

“Kita berhasrat menjadikan makanan tradisi kaum Melayu ini sebagai wadah mengukuhkan hubungan antara masyarakat majmuk di kawasan Parlimen Kota Raja.

“Hari ini kita dapat lihat orang Melayu, Cina dan India bersama dalam program membakar lemang. Lemang bukan makanan asing kepada kaum-kaum lain, ia sangat disukai.

“Hari ini, ketiga-tiga kaum saling membantu dari mula hingga akhir proses memasak lemang.

“Insya-Allah kita akan dapat merasa air tangan hasil daripada kerjasama ketiga-tiga kaum ini apabila ia siap dibakar,” katanya ketika program itu di Telok Menegon, Kota Raja, Klang.

Firdaus berkata, pihaknya sentiasa komited untuk menganjurkan program yang mempromosi budaya sesuatu kaum bagi mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.

PARA peserta yang terlibat dalam program membakar lemang perpaduan di Telok Menegon, Klang, Selangor baru-baru ini.

Salah seorang peserta daripada kaum Cina, Lawrence Tan Foo Sheng, 17, berkata, program tersebut menjadi kaedah terbaik menyatukan tiga kaum dalam satu aktiviti yang bersifat pendidikan tentang budaya masyarakat Melayu.

Foo Sheng berkata, program tersebut juga membuka peluang kepada dirinya mempelajari cara memasak lemang yang merupakan juadah popular semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

“Ini peluang kepada saya dan kawan-kawan untuk belajar masak lemang yang merupakan makanan tradisi orang Melayu. Makanan ini sungguh sedap dimakan bersama rendang daging atau ayam.

“Pada saya, memasak lemang tidak terlalu susah, cuma kena pandai jaga api,” katanya.

Sementara itu, seorang remaja dalam kalangan kaum India, K. Nishan, 17, memaklumkan, program tersebut merupakan pengalaman pertamanya memasak lemang.

Jelasnya lagi, peluang belajar menyediakan lemang daripada pengusaha Lemang Mana Lagi, bermula dari awal hingga akhir merupakan satu pengalaman yang menarik sebagai seorang bukan Melayu.

“Saya dan keluarga biasa membeli lemang di sini sejak beberapa tahun lalu.

“Lepas ini mungkin saya akan masak sendiri lemang sempena Deepavali nanti. Hal ini kerana ia makanan kegemaran keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Faizal merasakan program tersebut wajar diteruskan dalam usaha memantapkan perpaduan dalam masyarakat melalui makanan tradisi.

Tambahnya, proses penyediaan lemang memerlukan kerjasama erat antara peserta dari peringkat menyediakan buluh, daun pisang, santan kelapa, membasuh beras pulut hingga ia dibakar perlahan menggunakan bara api selama lima jam.

“Saya gembira dapat berkongsi ilmu memasak lemang dan berinteraksi dengan ceria bersama peserta, termasuk lebih 10 orang dalam kalangan orang Cina dan India,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN