JOHOR BAHRU – Empat beradik dari Kampung Tengah, Renggam, Kluang di sini teruja apabila bakal menunaikan ibadah haji bersama-sama pada bulan depan.
Zulaila Jani, 56, yang merupakan Guru Besar Sekolah Agama Felda Kahang Barat akan menunaikan rukun Islam kelima itu bersama tiga adiknya, Kartina ,55, Mahayu, 54 dan Umi Nadrah, 42.
Katanya, mereka mendapat tawaran panggilan haji itu pada Februari lalu dan telah membuat persiapan rapi untuk berangkat ke tanah suci Mekah pada 7 Mei depan.
“Pada tahun lalu, saya sudah dapat tawaran untuk menunaikan ibadah haji namun terpaksa ditangguhkan atas faktor kesihatan. Tak sangka pula, tahun ini saya sekali lagi dapat tawaran tersebut bersama tiga adik perempuan yang lain.
“Kami rasa sangat gembira dan bersyukur kerana bukan sahaja hasrat untuk menunaikan ibadah haji menjadi kenyataan, malah dapat menunaikan secara bersama-sama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Bersama Bakal-Bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) 1447/2026M di sini hari ini.
Keempat-empat beradik itu merupakan antara 500 bakal jemaah RKJ yang terdiri daripada pesara dan penjawat awam negeri.
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Halim Mohammad, 56, dan isteri, Norzita Manap, 53, turut menzahirkan rasa syukur apabila hajat mereka untuk menunaikan ibadah pada tahun ini dipenuhi.
Halim yang merupakan pesara Jabatan Laut Wilayah Selatan berkata, dia memohon RKJ pada 2023 dan menerima tawaran RKJ pada Disember lalu.-KOSMO! ONLINE














