fbpx
Anggota polis membawa empat individu termasuk seorang wanita untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Tanah Merah, Tanah Merah hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Reman 4 individu siasat kes tembak penternak lembu ditolak mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan reman terhadap empat individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang penternak lembu yang cedera pada bahagian dagu selepas ditembak dalam kejadian di ladang kelapa sawit Kemahang di sini semalam.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini selepas mendapati tiada kaitan yang cukup kuat antara suspek terlibat dengan kesalahan yang disiasat.

Pihak polis sebelum itu membuat permohonan reman terhadap kesemua individu tersebut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api.

Terdahulu, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 21 hingga 45 tahun termasuk seorang warga Indonesia tiba di mahkamah dengan menaiki trak polis kira-kira pukul 8.40 pagi untuk prosiding permohonan.

Kosmo! Online semalam melaporkan, polis giat memburu lima lelaki warga tempatan dan Thailand bagi membantu siasatan kes tembak seorang penternak lembu dalam kejadian di ladang kelapa sawit Kemahang di sini.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa Mohd. Khairul Amri Ab. Kadir, 43, cedera pada bahagian dagu dan sedang menerima rawatan di Hospital Tanah Merah di sini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, berdasarkan laporan pengadu yang merupakan seorang jurujual berusia 35 tahun, mangsa bersama rakan-rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan kira-kira pukul 1.30 pagi bagi mengesan suspek kes mencuri lembu.

“Mereka kemudian terserempak dengan sekumpulan lelaki dianggarkan seramai lima orang yang kira-kira pukul 2.30 pagi.

“Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat menggunakan senjata api ke arah pengadu dan rakan-rakannya,” katanya.

Mohd. Haki memberitahu, kejadian itu menyebabkan pengadu bersama rakan-rakan melarikan diri untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, tembakan itu bagaimanapun terkena pada bahagian dagu salah seorang rakannya iaitu Mohd. Khairul Amri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN