PETALING JAYA – Seorang pekerja kedai elektronik dikecam selepas tular rakaman memaparkan dia menukar bateri kalkulator pelanggan dengan bateri terpakai pada kadar caj RM30.
Menerusi video tular itu, pelanggan tersebut merupakan seorang pelajar yang datang ke kedai terbabit bersama ibunya bagi membaiki kalkulator saintifiknya akibat dimasuki air.
Pekerja berkenaan kemudian membuka bahagian belakang kalkulator itu untuk diperiksa selain bertindak membersihkan serta mengeringkan komponen dalaman alat pembelajaran tersebut sebelum menggantikan bateri yang sudah rosak.
“Kita tengok dulu, boleh baiki kita baiki, kalau tak boleh kena beli baru. Tak mahal pun kalkulator (macam ini) dalam RM60 macam itu,” katanya.
Pekerja itu dilihat menggantikan dengan bateri terpakai yang diambil daripada alat kawalan jauh (remote) kedai berkenaan.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan tidak profesional tersebut mendakwa cara itu merupakan satu penipuan meskipun pekerja berkenaan membuat penukaran di hadapan pelanggan terbabit.
“RM30 untuk keringkan kalkulator? Bateri pun pakai yang dah guna pada remote kedai, agak melampau sebab hanya melibatkan satu sahaja bateri, harga itu memang mengundang bang,” tegur seorang pengguna.
“Periksa pastu tukar bateri (ambil dari remote) caj RM30, kalau bateri baru tak apa, faham lah juga. Itu bateri yang kau dah guna letak dekat remote,” komen Deyanna.
Selepas teruk dikecam, pekerja kedai terbabit tampil memberikan penjelasan lanjut menerusi hantaran terbaharu di akaun TikTok kedai tersebut.
Jelas pekerja itu, dia sebenarnya ingin mencari bateri baru yang masih berada dalam bungkusan asal, namun tidak menemuinya dan sebagai penyelesaian segera lelaki tersebut terus mengambil bateri daripada ‘remote’.
Tegasnya, bateri ‘remote’ itu sebenarnya juga masih baharu dan caj yang dikenakan kepada pelajar tersebut adalah munasabah.
“Untuk water damage (kerosakan disebabkan air) telefon, biasanya caj RM60 hingga RM80. Saya pula pertama kali membaiki kalkulator. Kita ikut harga standard, tapi rendah lagi. Lagi murah dari harga asal (water damage).
“Itu hanyalah harga upah baiki. Kita dah beritahu dulu harga berapa, pelanggan pun setuju tanpa masalah. Pelanggan okey saja dengan harga tu. Mahal atau murah adalah pilihan. Mereka setuju, kita baiki. Mereka tak setuju, kita tak baiki,” katanya. – KOSMO! ONLINE














