DUNGUN – Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersedia mempertimbangkan pengurangan kadar sewaan premis perniagaan dan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan serta pendidikan kepada usahawan dan pelajar yang terjejas dengan ekonomi semasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan itu sebagai langkah sokongan terhadap usahawan, penyewa premis, pelajar, pendidik dan warga institusi pendidikan Mara yang terkesan.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, langkah tersebut diambil susulan ketidaktentuan ekonomi global termasuk tekanan terhadap rantauan bekalan makanan serta krisis tenaga yang memberi kesan kepada kos operasi perniagaan dan kehidupan rakyat.
“Kita minta usahawan-usahawan yang benar-benar terjejas untuk datang berbincang dengan bahagian pinjaman atau bahagian usahawan Mara bagi mendapatkan beberapa kelonggaran dari segi penyewaan atau penjadualan semula bayaran,” kata selepas merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Mara akan mencari jalan sebaiknya bagi membantu pemegang taruh Mara yang terjejas dengan kenaikan kos barangan dan bahan api. – KOSMO! ONLINE














