KUANTAN – Mendapat kontrak kerja menambak pasir pantai, namun bertindak sebaliknya bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda apabila mengambil pasir di sekitar kawasan pelabuhan Kuantan di sini.
Difahamkan kontraktor berkenaan memulakan kerja penambakan pantai untuk projek hab maritm bermula Mac lalu menggunakan kapal korek yang berada di tengah laut.
Namun tindakan itu membawa padah apabila dapat dikesan oleh Pasukan Gerakan Am yang melakukan serbuan pada pukul 10 pagi semalam bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, susulan tiada sebarang dokumen kelulusan pihaknya telah menahan enam pekerja dan menyita jentera dan pasir laut seberat 250 tan dengan nilai keseluruhan RM10.28 juta.
“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak UPNP untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan aktiviti pengekstrakan atau pemindahan bahan batuan yang disyaki pasir laut secara tidak sah.
“Antara barang yang dirampas ialah sebuah kapal korek pasir bersama paip, dua buah ekskavator, sebuah jentera buldozer dan 250 tan pasir laut,” katanya di sini hari ini
Ahmad Radzi berkata, tangkapan serta rampasan diserahkan kepada UPNP untuk tindakan lanjut manakala sampel pasir turut diambil dan akan dihantar ke Jabatan Mineral dan Geosains,
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan hasil semakan mendapati aktiviti mengorek pasir dari laut tersebut tidak mempunyai sebarang lesen termasuk kebenaran secara sah daripada pihak berkuasa tempatan. – KOSMO! ONLINE














