PEMINAT di Sarawak mempunyai dua sebab besar untuk meraikan kejayaan Kuching City layak ke final Piala Malaysia selepas menyingkirkan juara 33 kali, Selangor FC hasil kemenangan 2-1 secara agregat.
Kemenangan 1-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Negeri, kelmarin menamatkan penantian 27 tahun pasukan dari negeri itu untuk bermain di pentas final Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya ketika bergelar naib juara edisi 1999.
Lebih manis, kejayaan kali ini dicipta oleh pasukan yang masih lagi mentah dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) di mana mengikut sejarah The Cats baharu berusia 11 tahun sejak ditubuhkan.
“Saya rasa ini satu lagi sejarah yang kita cipta. Ia juga bagus untuk diri saya sendiri, final Piala Malaysia yang kedua, kali terakhir ketika saya bersama Kedah dan sekarang dengan Kuching City. Jadi, sudah tentu kita tidak mahu berhenti di sini.
“Saya rasa final tetap final. Ia sentiasa menjadi impian besar setiap jurulatih untuk memenanginya dan menjadi juara. Kita akan bermain menentang pasukan besar iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya harap semua orang menikmati bola sepak, suasananya dan mari kita bawa semangat itu ke Bukit Jalil juga supaya kita dapat melihat dua pasukan yang baik bermain di final,” kata pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak
Dalam masa sama, Aidil juga memberi ingatan kepada pemainnya supaya mempelajari sesuatu daripada perlawanan kali ini khususnya apabila berdepan tekanan yang dijelmakan oleh pasukan lawan.
“Di sini kita perlu belajar tentang bagaimana untuk menguruskan permainan apabila berada di bawah tekanan. Ini adalah langkah yang baik untuk keyakinan pemain bagi mengejar kedudukan kedua dalam Liga Super,” katanya.














