BIARPUN dilahirkan dengan masalah injap jantung, namun ia tidak mematahkan semangat Syarifah Putri Alysha Syed Abu Talib, 21, untuk mengejar cita-citanya dan bergiat aktif dalam bidang kepimpinan, kesenian serta kesukarelawanan.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengkomputeran Multimedia) dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu ingin membuktikan bahawa orang yang mempunyai penyakit kronik dan perlu berulang-alik ke hospital juga boleh berjaya.
Kini, Syarifah Putri Alysha atau lebih mesra disapa Alysha memegang pelbagai jawatan penting di kampus termasuk sebagai Ketua Exco Semak Imbang (Ketua Pembangkang) dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Dia turut aktif di peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam persidangan bersama wakil pelajar.
Baru-baru ini, Alysha menjadi wakil Malaysia di ASEAN Global Youth Summit 2026 dan memenangi dua anugerah iaitu Global Youth Inspiration Awards 2026 dan Top 10 ASEAN Best Academic Presenter.
“Sejak kecil, saya telah dididik untuk berjiwa besar. Walaupun ketika itu kebanyakan masa di hospital, namun ayah akan memastikan saya tidak ketinggalan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
“Jadi, saya telah didaftarkan ke dalam kelas piano, taekwondo, tarian balet dan turut menyertai kem perkhemahan.
“Semua aktiviti itu telah membentuk diri saya pada hari ini,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.
Akui Alysha, bukan mudah untuk dia bergiat aktif dengan keadaan jantung bermasalah.

Ini kerana, jika terlalu penat atau terkejut ia akan menyebabkannya pengsan atau kekurangan oksigen dan perlu dirawat segera di hospital.
“Boleh dikatakan tiga atau empat bulan sekali saya akan dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, tetapi ia bukanlah halangan terbesar untuk saya. Malah semangat saya semakin berkobar-kobar untuk menggapai impian.
“Oleh itu, saya perlu menjaga diri sebaik mungkin seperti mengamalkan pemakanan sihat (tidak berminyak, manis dan pedas) serta bijak mengatur jadual agar tidak terlalu penat.
“Saya bersyukur, kawan-kawan juga banyak memberi sokongan kepada saya agar menjaga diri dengan baik,” ujarnya yang bercita-cita bergelar diplomat.
Walaupun mengalami masalah kesihatan, namun ia bukanlah alasan untuk Alysha tidak memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

Dia yang merupakan ahli aktif Kelab Insan UPM turut mengikuti pelbagai aktiviti kesukarelawan termasuk pembersihan pasca banjir di Kelantan pada tahun lalu.
Bukan itu sahaja, dia memegang portfolio pendigitalan dan komunikasi korporat dalam MPP, di samping berperanan sebagai Ketua Exco Semak Imbang bagi memastikan ahli perwakilan pelajar telus dan amanah dalam menjalankan tugas.
Mengulas mengenai penglibatannnya dalam seni teater bersama Produksi Layar Majnun, Alysha berkata, platform itu menjadi ruang untuknya mempersembahkan emosi dengan cara kreatif.
“Teater yang kami persembahkan berbeza dengan teater biasa kerana disampaikan dengan puisi serta perlu berfikir di luar kotak untuk menyampaikan mesej sesuai dengan tema ditetapkan.
“Seni teater banyak mengasah kemahiran saya terutama berkaitan dengan komunikasi korporat yang menjadi portfolio utama saya di UPM,” katanya yang turut menggalas tanggungjawab sebagai Ejen Perubahan Kesihatan Seksual.
Pada masa hadapan, Alysha memasang impian besar untuk membangunkan yayasan bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah jantung.
“Saya mahu memberi sokongan dan bantuan kepada kanak-kanak yang senasib dengan saya agar mereka bersemangat untuk mencapai impian, meskipun diuji dengan penyakit kronik.
“Saya mahu membuktikan bahawa orang-orang seperti kami juga boleh berjaya,” tuturnya.














