PETALING JAYA – Tindakan bekas Undang Luak Sungei Ujong, Mubarak Thahak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir disifatkan tidak sah.
Menurut Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri, perkara itu kerana Mubarak telah diberhentikan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra sejak 13 Mei 2025.
Kata beliau, sidang Dewan Keadilan dan Undang pada 17 April lalu juga telah menasihatkan supaya pemberhentian tersebut diterima.
“Justeru, tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan tersebut hari ini di Balai Undang Luak Sungei Ujong adalah tidak sah kerana beliau sudah tiada kuasa dari segi adat dan perlembagaan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta anak-anak waris Klana Hulu juga tidak pernah memberikan mandat kepada Mubarak untuk bertindak sedemikian.
Sehubungan itu, tindakan tersebut disifatkan sebagai satu penderhakaan terhadap Tuanku Muhriz dan sewajarnya dikenakan tindakan undang-undang.
Terdahulu, tular mengenai satu pengisytiharan yang didakwa dibuat oleh Mubarak berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, hari ini. – KOSMO! ONLINE











