fbpx
MALI dua dari kiri) bersama tiga koleksinya yang diinspirasi daripada busana era Elizabethan.

Estetika diraja era ‘Elizabethan’ dalam terjemahan moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia fesyen kontemporari, inspirasi daripada tokoh sejarah sering menjadi titik mula kepada lahirnya rekaan yang unik dan sarat dengan makna.

Salah satu figura yang terus menjadi rujukan dalam landskap rekaan busana ialah Ratu Elizabeth I, seorang pemerintah England yang dikenali dengan disiplin, ketegasan serta imej diraja yang penuh wibawa.

Estetika era ‘Elizabethan’ yang kaya dengan struktur, perincian dramatik dan simbol kuasa menjadikan baginda sumber inspirasi yang tidak pernah pudar dalam dunia rekaan fesyen.

Mengangkat inspirasi tersebut, pereka muda, Muhammad Khairul Izzudin Raznam atau lebih dikenali sebagai Mali, mentafsir semula elemen klasik Elizabethan dengan pendekatan moden.

“Saya memilih untuk menghasilkan koleksi berinspirasikan Ratu Elizabeth I yang menggabungkan elemen kuasa dan kewanitaan dalam satu naratif visual yang seimbang.

“Kalau kita lihat era Elizabethan, banyak elemen busana yang besar dan penuh protokol. Saya cuba kecilkan dan modenkan struktur itu supaya masih nampak elegan tetapi lebih mudah dipakai,” katanya kepada CitaRasa.

Antara elemen paling ikonik yang diangkat dalam rekaan tersebut ialah perincian ruff pada bahagian leher, selain siluet busana yang besar dan berstruktur pada era Elizabethan.

Elemen tersebut kemudian diberi nafas baharu melalui pendekatan moden yang lebih ringan, praktikal dan sesuai untuk pemakaian generasi masa kini.

KOLEKSI itu menggabungkan unsur kuasa dan wanita.

Selain itu, pemilihan warna hitam turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan identiti koleksi ini.

Warna tersebut dipilih bagi mengekalkan imej elegan dan eksklusif, di samping mengelakkan gangguan visual daripada pelbagai warna yang boleh mengurangkan fokus pada struktur rekaan.

Dalam masa yang sama, konsep dualiti turut menjadi teras utama dalam penghasilan koleksi ini iaitu gabungan antara kuasa dan kewanitaan.

Unsur kewanitaan diterjemahkan melalui penggunaan fabrik lembut seperti lace dan sutera, manakala elemen kuasa pula dizahirkan melalui struktur rekaan yang tegas serta siluet yang berani.

Proses penghasilan koleksi ini juga melalui kajian mendalam terhadap Ratu Elizabeth I yang mengambil masa sekitar enam bulan sebelum rekaan dimulakan.

Kajian tersebut diteruskan sepanjang proses penghasilan bagi memastikan setiap perincian yang diangkat benar-benar mencerminkan inspirasi asal yang dirujuk.

Menurut Mali, pemilihan fabrik juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh konsep rekaan.

Antara bahan yang digunakan termasuk moire, sutera dan lace bagi menyeimbangkan elemen struktur dan kelembutan dalam satu rekaan.

“Saya gunakan lace untuk menonjolkan sisi feminin dalam koleksi ini. Dalam masa yang sama, saya masukkan juga elemen bunga ros kerana ia antara simbol yang dekat dengan Ratu Elizabeth I.

PERINCIAN ruff pada bahagian leher menjadi ciri penting.

“Dari sudut teknik, saya menekankan penggunaan teknik draping sebagai asas pembentukan busana, di samping perincian ruffle yang menjadi elemen signatur dalam koleksi.

“Ada tiga jenis ruffle berbeza yang saya olah supaya setiap satu memberi karakter yang berbeza tetapi masih dalam satu kesinambungan koleksi,” ujarnya.

Keseluruhan koleksi ini turut mengambil masa sekitar empat hingga lima bulan untuk disiapkan.

Proses paling mencabar melibatkan pembinaan struktur skirt menggunakan teknik gathering serta penggunaan fabrik yang mencecah sehingga 17 meter bagi satu rekaan.

Walaupun kompleks dari segi teknikal, Mali mengakui bahawa proses perincian jahitan merupakan bahagian yang paling digemarinya kerana membolehkan dirinya menghidupkan semula idea rekaan secara lebih mendalam.

“Saya paling seronok bila masuk bahagian finishing dan jahitan perincian. Masa itu saya boleh nampak keseluruhan konsep itu ‘hidup’.

“Saya  berhasrat untuk mengembangkan konsep tersebut kepada koleksi ready-to-wear pada masa akan datang, dengan penyesuaian supaya lebih mudah dipakai oleh khalayak umum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN