BERSIKAP realistik, pelakon Janna Nick berharap orang ramai tidak memberikan layanan berlebihan kepada golongan selebriti yang juga anggota dalam masyarakat.
Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 30, berkata, kerjaya di bidang hiburan sama seperti pekerjaan lain yang dilakukan untuk mendapatkan wang bagi menampung kehidupan.
“Artis itu hanya pekerjaan sahaja. Sama seperti manusia biasa. Pakailah wangi macam mana, kentut tetap akan berbau busuk juga.
“Mati pun balut kain kafan juga. Jadi tak perlulah nak layan terlalu berlebihan,” tulisnya di laman Threads.
Aktres juga penerbit itu menyentuh isu tersebut dipercayai bagi mengingatkan masyarakat agar jangan terlalu mengagungkan selebriti hingga mengenepikan orang lain.
Malah pelakon itu turut menyatakan layanan yang diberikan kepada seseorang selalunya akan dibalas mengikut cara kita melayan mereka.
“Misalnya, kalau awak beri layanan baik kepada pekerja khidmat pelanggan dan artis, pasti mereka akan melayani awak dengan baik.
“Tetapi kalau awak baran dengan mereka, pastilah mereka akan buat perkara yang sama,” ujarnya.
Janna juga mengingatkan orang ramai agar tidak mengharapkan layanan istimewa daripada sesiapa, sebaliknya mengamalkan sikap terbuka tanpa memandang status.
“Kita tak boleh harap layanan yang lebih-lebih pun. Jadi janggal kalau awak nak terlalu sangat perhatian.
“Double standard (pilih kasih) semua tidak perlu!,” katanya.
Pandangan Janna meraih sokongan pengguna Threads lain yang sependapat dengannya berkenaan layanan sama rata kepada semua pihak.
“Mindset suami saya. Dia cakap jangan taksub sangat pads artis dan jangan terlampau kecam artis. Mereka pun macam kita, kerja cari makan,” kata seorang netizen.
Walaupun menyambung pengajian di London bersama suami, Dini Schatzmann, pada September tahun lalu, kedua-dua mereka aktif menghasilkan konten di media sosial.
Selain memaparkan video kehidupan di negara orang, pasangan terbabit juga aktif berkongsi mengenai tanggungjawab sosial kepada masyarakat. – HIBGLAM














