fbpx
Gambar hiasan

Gangguan bekalan RON95, diesel di Caltex jejas keperluan rakyat Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Gangguan bekalan RON95 dan diesel di stesen minyak Caltex Malaysia (Caltex) di beberapa negeri termasuk Kelantan memberi kesan langsung kepada operasi perniagaan, sektor logistik, perkhidmatan kesihatan dan kehidupan rakyat secara keseluruhan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, bekalan bahan api merupakan keperluan asas yang kritikal dan sebarang gangguan yang berulang tanpa perancangan mitigasi yang jelas merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, walaupun alasan yang diberikan adalah berkaitan kelewatan di pelabuhan, namun situasi itu tetap menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur yang sekali lagi dilihat berdepan risiko kekurangan bekalan berbanding negeri di Pantai Barat.

“Saya memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Caltex melalui satu notis di media sosial berhubung kemungkinan gangguan bekalan RON95 dan diesel di beberapa negeri termasuk Kelantan.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa pengagihan yang adil antara negeri-negeri tanpa wujud sebarang ketidakseimbangan agihan bekalan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Pihak Caltex perlu menyediakan pelan kontingensi yang lebih berkesan termasuk pembekal alternatif, penggunaan depot alternatif atau laluan logistik lain bagi memastikan kesinambungan bekalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hilmi memberitahu, beliau berharap Caltex bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan keutamaan diberikan kepada kawasan-kawasan yang kritikal sekiranya benar stok amat terhad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN