PETALING JAYA – Agenda pemerkasaan Bumiputera perlu digerakkan melalui pelaksanaan yang nyata dan berimpak, bukan sekadar perbincangan tanpa hasil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama institusi pelaburan Bumiputera yang dipengerusikannya semalam bagi meneliti langkah lebih tuntas dan berkesan selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.
Menurutnya, Ekonomi Madani menggariskan usaha untuk menaikkan siling potensi pertumbuhan negara, meningkatkan darjat hidup rakyat serta memacu pembaharuan khususnya dari segi tadbir urus yang baik.
“Penglibatan sektor swasta dan usahawan amat penting supaya pertumbuhan dicapai lebih bermakna, mampan dan dirasai secara meluas.
“Tumpuan kini mesti terarah kepada pelaksanaan dasar yang relevan dengan tuntutan semasa, dengan Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan akan menyelaras inisiatif utama serta menyediakan laporan kemajuan setiap suku tahun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, keutamaan untuk mempercepat pelaburan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera serta memperkukuh sokongan kepada syarikat berpotensi tinggi turut ditekankan.
“Dalam masa sama, kita menyasar sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam awal (IPO) baharu syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2027,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kepentingan pembangunan modal insan seiring perubahan pesat dunia, termasuk memperluas latihan TVET berpendapatan tinggi, meningkatkan peluang pekerjaan dan memperkukuh mobiliti sosial khususnya golongan muda serta berpendapatan rendah.
“Agenda Bumiputera tidak boleh terhenti pada seminar dan pengumuman. Ia mesti diterjemahkan melalui hasil, peluang dan pencapaian yang dinikmati rakyat terbanyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE














