KUALA KANGSAR – Para jemaah haji tahun ini serta seluruh rakyat Malaysia perlu mendapatkan maklumat daripada sumber sahih mengenai perkembangan di Tanah Suci susulan konflik perang Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, jemaah haji negara sudah dipersiapkan dari segi ilmu, hukum-hakam serta bagaimana mahu mendapatkan maklumat yang tepat sepanjang mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
“Kita juga ada aplikasi yang boleh mendapatkan maklumat terkini. Kita juga mempunyai pembimbing serta petugas haji yang sentiasa memberikan perkembangan semasa,” katanya semasa mengadakan lawatan ke sekolah agama Madrasah Idrisiah bersebelahan Masjid Ubudiah Kuala Kangsar di sini hari ini.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ialah pada 18 April dan Zulkifli bersama pengurusan Tabung Haji dijadualkan menyantuni mereka yang akan berlepas awal pagi esok.
Dalam pada itu, Zulkifli melahirkan rasa syukur apabila penyusunan musim haji kali ini berjalan dengan baik.
“Apa yang kita ingin pesan kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam dan tetamu Allah, sila ikuti dan dapatkan maklumat daripada sumber yang sahih supaya kita dapat mempunyai informasi yang benar, sahih dan tepat,” katanya.- KOSMO! ONLINE














