MUNICH – Kad merah Eduardo Camavinga pada minit ke-86 dianggap sebagai punca Real Madrid tewas 4-3 kepada Bayern Munich pada aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Allianz Arena awal pagi semalam.
Ketika Camavinga diarah keluar padang, Real sedang mendahului perlawanan 3-2 dengan agregat terikat 4-4, namun segalanya berubah apabila Bayern menambah dua lagi jaringan, sekali gus meleburkan harapan Los Blancos.
Jurulatih Real, Alvaro Arbeloa menyifatkan kad merah yang dilayangkan kepada Camavinga tidak adil kerana menganggap pemain itu langsung tidak melakukan kekasaran yang melayakkan dia mendapat kad kuning kedua.
“Tidak ada sesiapa pun yang faham mengapa seorang pemain boleh diarah keluar padang dengan tindakan seperti itu. Ketika Camavinga dilayangkan kad merah, saya tahu perjuangan kami sudah berakhir.
“Bagi saya, ia satu keputusan yang tidak adil dan kami sangat terluka ketika ini. Bagaimanapun, tahniah kepada Bayern atas perlawanan yang sangat hebat, namun kami harap untuk tewas dengan cara berbeza,” katanya.
Pada perlawanan itu, gol Bayern dijaringkan Aleksandar Pavlovic, Harry Kane, Luis Diaz dan Michael Olise manakala Real memperoleh gol menerusi dua jaringan Arda Guler dan satu gol Kylian Mbappe.
“Saya tidak rasa pengadil akan melayangkan kad kuning kedua sekiranya beliau tahu Camavinga sudah menerima amaran awal. Anda semua boleh lihat pemain-pemain Bayern mengingatkan beliau untuk melayangkan kad merah,” ujar Arbeloa. – AGENSI














