fbpx
Anggota polis membawa Mohd. Hairie untuk didakwa atas pertuduhan melarikan dan mengurung seorang pemilik kedai emas di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini.

Penganggur didakwa subahat bekas pemain bola sepak Kelantan culik tauke emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan bekas pemain bola sepak Kelantan melarikan dan mengurung seorang pemilik kedai emas di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini pada tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Hairie Ab. Rahman, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan Cik Hisammudin Hassan, 51, untuk melarikan Marzuki Mustapha, 45, secara paksa dengan niat untuk menyebabkan mangsa dikurung secara sulit dan salah.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Paloh, Palekbang dekat Tumpat kira-kira pukul 2.30 petang pada Mac hingga April 2025.

Mohd. Hairie didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sebelum Mohd. Hairie dalam rayuannya memohon ikat jamin tersebut dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa dan perlu sebulan sekali melapor diri di balai polis terdekat.

Mahkamah menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.

Terdahulu, seorang bekas pemain bola sepak Kelantan dan rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad lalu atas pertuduhan melarikan dan mengurung seorang pemilik kedai emas di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini pada tahun lalu.

Tertuduh, Cik Hisammudin yang merupakan bekas penyerang pasukan bola sepak Kelantan era 1990-an hingga 2000-an dan rakannya, Saufi Ariffin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Kosmo! sebelum ini, melaporkan, seorang pemilik kedai emas ditinggalkan di kawasan bandar Tumpat dekat sini selepas diculik selama hampir lima jam oleh sekumpulan empat individu menggunakan sebuah kereta dari Palekbang di sini pada 20 Mei tahun lalu.

Menurut sumber, mangsa yang ditinggalkan di kawasan itu ditemukan dengan mengalami kecederaan ringan.

Katanya, mangsa tidak dapat mengecam suspek yang terlibat kerana kedua-dua belah matanya ditutup dan kesemua suspek bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Suzuki Swift selepas meninggalkan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN