fbpx
AHMAD Izram (duduk tengah) bersama sebahagian penerima APC di Ibu Pejabat JBPM Kedah di Alor Setar, hari ini.

Punca kebakaran SMU Darul Ulum Al-Muhammadiah masih disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Punca sebenar yang mengakibatkan kebakaran Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Bachok, Kelantan pada Ahad lalu masih dalam siasatan dengan insiden itu buat masa ini diklasifikasikan sebagai kemalangan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ir. Ts. Ahmad Izram Osman berkata, sampel yang diambil dari lokasi kebakaran telah dihantar ke makmal di Terengganu untuk dianalisis.

“Dalam siasatan ini, kita akan mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan kebakaran itu berlaku. Buat masa ini, kita siasat ia sebagai berpunca daripada kemalangan.
“Kita simpulkan begitu dahulu kerana kita memerlukan masa untuk menganalisis sampel yang diambil dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 kepada anggota dan pegawai JBPM Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, bangunan sekolah berkenaan tidak termasuk dalam kategori yang memerlukan Sijil Perakuan Bomba (FC), sekali gus tidak mewajibkan pihak bomba menjalankan pemantauan secara berkala.

“Jadi, kita mengharapkan kesukarelaan pihak pengurusan untuk memastikan segala risiko yang boleh menyebabkan kebakaran dapat dihapuskan. Jika dikategorikan sebagai FC, pemeriksaan akan dilakukan setiap tahun,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, pihak pengurusan sekolah seperti warden perlu memberi perhatian terhadap aspek pendawaian elektrik, terutama di bangunan yang sudah berusia.

“Lebih-lebih lagi pada masa ini ramai menggunakan gajet, jadi aspek pengecasan bateri perlu dipantau. Pihak warden atau penyelia perlu memastikan tidak berlaku pengecasan secara berlebihan.

“Ini kerana kebanyakan punca kebakaran biasanya berpunca daripada elektrik atau peralatan elektrik,” jelasnya.

Dalam kejadian itu, tiga blok bangunan sekolah tersebut yang terletak di Kampung Kolam, Pak Badol terbakar dengan satu daripadanya musnah hampir 98 peratus.

Dua lagi bangunan masing-masing terbakar 80 dan 30 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Untuk maklumat, sekolah yang ditubuhkan pada 1990 itu menempatkan keseluruhan 251 pelajar dengan 112 daripadanya tinggal di asrama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN