BATU PAHAT – Seorang lelaki warga emas yang didakwa memperkosa cucunya disambung tahanan reman selama empat hari hingga Jumaat ini bagi melengkapkan siasatan sebelum pendakwaan dilakukan.
Perintah sambung reman itu dibenarkan Majistret Nurasidah A Rahman selepas reman mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan selama enam hari bermula Rabu minggu lalu tamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, sebelum itu, warga emas berusia 67 tahun itu ditahan reman selepas dipercayai merogol cucunya yang berusia 13 tahun dan kejadian dikatakan berlaku sepanjang tahun lalu dan kali terakhir Disember lalu.
Katanya, permohonan sambung reman ini kerana mangsa dan keluarga di Langkawi baru datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi bantu siasatan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita dipercayai ibu mangsa meraung sambil menyebut ‘Allahuakbar’ selepas anak perempuannya berusia 13 tahun mendedahkan kejadian dirogol oleh lelaki warga emas yang juga datuk kepada mangsa.
Suspek kemudiannya ditahan reman selama enam hari bermula Rabu lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Sebelum itu tular seorang lelaki warga emas mengaku merogol cucunya di sebuah rumah di daerah ini sejak tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














