fbpx
Antara barang pancing pelbagai jenama yang dijual oleh Faiz di gudangnya di Shah Alam, Selangor.

Dunia usahawan Faiz Mancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH dikenali sebagai Faiz Mancing dalam dunia di­gital, pemuda yang berasal dari Selangor ini membesar dalam keluarga kaki pancing.

Namun, Faiz sendiri bukanlah pengemar dunia hanyir. Minatnya lebih tertumpu kepada sukan seperti bola sepak dan badminton.

Selepas tamat pengajian di Politeknik, dia mula bekerja sebagai juruteknik dan mencuba pelbagai bentuk perniagaan. Dari menjual ikan haruan, produk kuruskan badan sehinggalah kereta, hampir semuanya pernah disentuh.

Banyak yang gagal, ada sekadar bertahan. Namun, setiap kegagalan itu mengasah naluri berniaganya, belajar membaca pasaran, memahami perangai pelanggan dan mengenal potensi diri.

Kejayaan besar pertamanya hadir apabila dia mula serius dalam jualan dalam talian.

Dengan membaca keperluan pengguna luar bandar dan warga emas, dia memasarkan produk ringkas tetapi praktikal iaitu gergaji (chainsaw) berkuasa bateri.

Pendekatan pemasaran mudah, sistem cash on delivery (COD), jami­nan produk dan komunikasi yang telus menjadikan jualannya melonjak pantas.

Dalam tempoh singkat, bisnesnya berkembang ke tahap yang tidak pernah dibayangkan.

Namun seperti kebanyakan kejayaan mendadak, cabaran sebenar datang selepas itu.

Apabila jualan meningkat, gaya hidup turut meningkat. Kereta mewah, operasi besar, kakitangan yang ramai dan menyewa kedai menjadi simbol ‘naik taraf’.

Tanpa sedar, kos operasi dan komitmen bulanan berkembang lebih laju daripada kestabilan aliran tunai.

Apabila jualan mula menurun, tekanan datang bertubi-tubi.

Faiz berdepan satu keputusan yang amat sukar, untuk mengaku kesilapan dan berundur selangkah ke belakang.

Tangkapan di salah satu tripnya ke laut.

Satu demi satu aset dilepaskan, dari kereta mewah, kembali ke kereta kecil. Dari beberapa premis, kembali menyewa ruang kecil sebagai stor.

Keputusan ini bukan mudah. Kakitangan mula risau, orang di seke­liling juga kehairanan.

Tetapi bagi Faiz, itulah keputusan kewangan paling jujur pernah dia buat bagi membezakan antara keperluan dan kehendak, sesuatu yang sering mengelirukan ramai usahawan muda.

Dalam fasa inilah memancing mula mengambil peranan baharu dalam hidupnya. Pada awalnya, memancing hanya­lah ruang melarikan diri daripada tekanan.

Dia mula ke kolam bayar, belajar daripada kosong. Berjam-jam menunggu ikan, belajar menahan sabar dan belajar menerima kegagalan.

Dari situ, dia sedar memancing bukan sekadar baling dan tunggu.

Ia memerlukan peralatan yang seimbang, teknik dan strategi betul, serta kekuatan fizikal serta mental.

Minatnya terhadap kandungan digital akhirnya menemukannya dengan dunia pancing. Dia mula menghasilkan video dengan pendekatan berbeza, tanpa skrip berlebihan, tanpa watak ‘Sifu’.
Kandungannya berkisar tentang proses belajar, kesilapan, ekspe­rimen dan realiti memancing yang sebenar. Kejujuran itu membuatkan penonton rasa dekat. Dari situlah nama Faiz Mancing mula dikenali.

Dia juga tidak menyembunyikan pandangannya tentang sisi industri pancing dan dunia pencipta kan­dungan. Dia lantang bercakap soal margin keuntungan, komisen platform e-dagang, risiko dan realiti bahawa tidak semua jenama besar sesuai untuk penjual.

Baginya, pempengaruh dan penia­ga perlu faham angka serta sistem, bukan hanya mengikut trend atau populariti sementara.

Hari ini, kisahnya dekat dengan masyarakat, seorang anak muda yang cuba berniaga, pemancing baharu belajar dari kosong, dan individu pernah jatuh sebelum bangkit semula.

Baginya, memancing mengajar perkara yang tidak pernah dia temui dalam dunia bisnes iaitu sabar tanpa jaminan, fokus tanpa kepastian dan redha dengan hasil.

Ada hari joran melentur, ada hari pulang tangan kosong. Sama seperti realiti dalam dunia perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN