fbpx
MUHAMMAD Radhi pada persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Pakaian atlet Islam tutup aurat dalam Dasar Sukan Satu Ibadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Isu pemakaian atlet khususnya yang berkaitan garis panduan berteraskan syariat Islam menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian dalam penggubalan Dasar Sukan Satu Ibadah di Kedah yang kini di peringkat akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Radhi Mat Din berkata, atlet beragama Islam diwajibkan mematuhi syarat pemakaian ditetapkan sementara bukan Islam hanya tertakluk kepada garis panduan umum.

“Sebagai contoh, dalam soal penjagaan aurat yang menjadi salah satu item dalam dasar ini, atlet yang beragama Islam perlu mematuhi kriteria dan syarat-syarat pemakaian yang ditetapkan oleh Islam.
“Adapun bagi masyarakat bukan beragama Islam, syarat-syarat yang diletakkan lebih umum,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd. Radzi Md Amin (PN-Pedu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Kata beliau, kerajaan negeri memberi jaminan dasar tersebut tidak akan mendiskriminasi mana-mana pihak, sebaliknya akan menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

“Secara dasarnya, Dasar Sukan Satu Ibadah tidak mendiskriminasi mana-mana golongan sama ada golongan bukan Islam dan sebagainya, dasar ini inklusif dan khusus untuk semua,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan khususnya dalam kalangan bukan Islam, namun menegaskan dasar itu tidak bersifat paksaan.

“Atlet Islam perlu patuhi kriteria pemakaian ditetapkan, tetapi bagi bukan Islam syaratnya lebih umum. Dasar ini tidak memaksa mereka mengikut syariat,” katanya.

Katanya, antara perkara lain yang diberi perhatian adalah isu sentuhan fizikal antara jurulatih dan atlet berlainan jantina yang tidak dibenarkan dalam syariat Islam.

“Dalam perspektif lain, pendekatan ini juga boleh mengelakkan berlakunya gangguan seksual sebagaimana digariskan dalam Kod Sukan Selamat yang dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan

“Dasar ini dirangka dengan mengambil kira pelbagai sudut demi kebaikan sukan, atlet serta masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, draf awal dasar berkenaan sudah dibentangkan pada 5 Mac lalu selepas melalui pelbagai proses libat urus termasuk Sidang Meja Bulat pada Julai 2024.

Katanya, libat urus itu turut membabitkan Jabatan Mufti Negeri Kedah, Majlis Sukan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan serta persatuan sukan bagi memastikan dasar itu lebih menyeluruh.

“Istilah ibadah dalam nama dasar itu dikekalkan kerana memberi makna luas dan tidak terhad kepada amalan ritual semata-mata,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN