PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman bantuan tambahan bagi membantu pesawah, petani dan pekebun kecil yang terkesan akibat kenaikan kos bahan api susulan krisis tenaga global.
Menurut beliau, kenaikan Insentif Pembajakan Pesawah daripada RM160 kepada RM300 sehektar semusim memberi kelegaan kepada pesawah padi yang bakal memulakan musim penanaman dalam masa terdekat.
“Langkah ini tentunya membantu mengurangkan beban kos yang ditanggung pesawah, khususnya ketika mereka bersiap sedia menghadapi musim penanaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, peningkatan bantuan tunai Budi Agri-Komoditi daripada RM300 kepada RM400 sebulan pula membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap lebih 200,000 petani dan pekebun kecil yang kini berdepan peningkatan kos operasi.
Dalam masa sama, beliau turut menghargai keputusan kerajaan melonggarkan syarat permit khas bagi pembelian diesel melebihi 20 liter untuk kegunaan selain kenderaan, termasuk jentera pertanian.
“Langkah ini akan memudahkan operasi di lapangan dan memastikan aktiviti pertanian dapat dijalankan dengan lebih lancar,” ujarnya.
Mohamad berkata, keseluruhan inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan pesawah dan petani di negara ini.
Beliau yakin bantuan tambahan itu bukan langkah terakhir, sebaliknya kerajaan akan terus menilai kesan krisis tenaga global terhadap sektor keterjaminan makanan dan mempertimbangkan langkah mitigasi dari semasa ke semasa.
“Kementerian akan terus komited memastikan sektor pertanian negara kekal aktif, berdaya tahan serta mampu menjamin keterjaminan makanan rakyat,” katanya.- KOSMO! ONLINE














