PUTRAJAYA – Kerajaan mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil tindakan segera bagi meningkatkan standard penyelenggaraan tren agar dapat mengurangkan gangguan perkhidmatan yang kerap berlaku.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya menyedari kekerapan gangguan yang berlaku beberapa minggu kebelakangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna.
Menurutnya, beliau sendiri berasa kecewa dengan situasi tersebut lebih-lebih lagi ketika kerajaan sedang menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
“Saya juga berang kerana hampir setiap minggu berlaku gangguan. Apabila kita galakkan orang ramai guna tren, sudah tentu mereka akan persoalkan apabila perkhidmatan sering terganggu.
“Namun, gangguan ini bukan sesuatu yang kita mahukan. Ia melibatkan isu teknikal yang sedang diberi perhatian serius,” katanya di Sidang Media Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di sini, hari ini.
Anthony menambah, pihaknya telah menegur Prasarana supaya meningkatkan aspek penyelenggaraan dan penyeliaan teknikal bagi mengurangkan gangguan.
Katanya, walaupun langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan, terdapat juga insiden luar jangka seperti kerosakan suis dan sistem isyarat yang boleh menjejaskan operasi tren.
“Kadangkala berlaku perkara di luar jangka seperti kerosakan suis yang menyebabkan stesen tidak dapat berfungsi dengan baik, sekali gus mengganggu perkhidmatan tren.
“Ini merupakan cabaran besar, namun saya telah mengarahkan Prasarana untuk memberi perhatian lebih serius terhadap isu teknikal bagi memastikan perkhidmatan lebih terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penerusan Pas Bulanan Perjalanan Tanpa Had My50 di Lembah Klang bagi penggunaan tanpa had selama 30 hari.
“Pas My50 dengan diskaun sebanyak 67 peratus daripada nilai sebenar RM150, bagi penggunaan tanpa had selama 30 hari melibatkan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana,” katanya. – KOSMO! ONLINE














