KUALA TERENGGANU – Kerajaan akan terus meneliti langkah bersesuaian bagi menangani kenaikan harga barang keperluan dan bahan api berikutan krisis bahan api global yang menjadi perhatian rakyat ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk untuk menilai keperluan bagi memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi baharu.
“Esok kita adakan mesyuarat lagi dengan Majlis Keselamatan Negara dari segi keselamatan (MKN) dan MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) dari segi ekonomi.
“Kita terus bincang saban hari cari jalan perlu (mengawal impak kenaikan bahan api global). Setakat ini bekalan (petrol dan diesel) masih terkawal,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Mini Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu di sini hari ini.
Kosmo! Ahad semalam melaporkan
negara dijangka berdepan tempoh kritikal sekitar Jun dan Julai ini susulan ketidaktentuan bekalan diesel akibat konflik di Asia Barat, sekali gus menuntut tindakan intervensi segera kerajaan bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, selain memastikan bekalan diesel kekal mencukupi, kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap jaminan bekalan bahan mentah lain yang menjadi keperluan utama industri.
Anwar berkata, buat masa ini, langkah seperti inisiatif Budi Madani 95 yang menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDB) telah diambil. – KOSMO! ONLINE














