JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan nekad seorang isteri melanggar kereta dipandu kekasih gelap suaminya sebelum dia menyerang wanita tersebut, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Dalam video tersebut, si isteri merempuh kereta Mitsubishi Xpander berwarna hitam itu yang sedang berhenti di tepi jalan.
Dia kemudian membuka pintu kereta lalu menarik wanita berkenaan keluar dari kenderaan itu sambil memakai topi keledar.
Si suami yang ketika itu sudah turun dari kereta, cuba menyelamatkan teman wanitanya sebelum dia ditampar oleh si isteri.
Seorang anggota polis yang berada di lokasi kejadian cuba mengawal suasana, namun dia turut dimarahi wanita berkenaan.
Si isteri yang berada dalam keadaan marah kemudian menarik rambut wanita berkenaan sebelum mencabut nombor plat kenderaan wanita itu.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen pengguna media sosial.
“Maaf, tapi saya berasa sangat puas melihat video ini,” kata seorang netizen.
“Mantap! Menyala isteri sah,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














