SHAH ALAM – Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Imran’ yang disyaki terlibat dalam kes penipuan perkhidmatan pelancongan yang tular di media sosial, termasuk menggunakan identiti isterinya bagi urusan pinjaman bank.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Menurut beliau, identiti suspek telah dikenal pasti, namun usaha mengesannya masih giat dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor.
“Setakat ini, kita sedang melengkapkan siasatan termasuk usaha mengesan individu terbabit.
“Kes ini dipercayai turut melibatkan beberapa negeri lain dan memerlukan penelitian menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas berkaitan satu laporan berasingan melibatkan dakwaan salah guna identiti oleh bekas pasangan, namun enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak akan ulas perkara tersebut kerana siasatan masih berjalan dan ia turut melibatkan beberapa kontinjen lain.
“Tidak adil untuk saya membuat sebarang ulasan lanjut ketika ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kes penipuan membabitkan individu dikenali sebagai Imran Koyube turut mendapat perhatian selepas tular di media sosial.
Menerusi penularan itu, suspek didakwa pernah terlibat dalam kegiatan penipuan sebelum ini sebelum kembali aktif menggunakan identiti serta nama agensi berbeza, selain dipercayai menyasarkan pelanggan perkhidmatan pelancongan. – KOSMO! ONLINE














