fbpx
APM menangkap ular tedung selar yang bersembunyi di celah pasu bunga penduduk di Kampung Ekor Padang, Kuala Ketil, Baling pagi tadi.

Bau bangkai rupanya ular tedung selar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Seorang suri rumah tidak menyangka bau busuk seperti bangkai haiwan rupa-rupanya datang daripada seekor ular tedung selar di sebalik pasu bunga di halaman rumahnya di Kampung Ekor Padang, Kuala Ketil, di sini hari ini.

Menurut Marzita Manawar, 49, dia terhidu bau kurang menyenangkan ketika sedang menyapu sampah di halaman rumah kira-kira pukul 8 pagi tadi.

“Saya kemudian cuba mencari dari mana bau busuk itu dan menyelak daun-daun pokok bunga dengan penyapu.

“Selepas itu, saya ternampak sesuatu berlingkar di tepi pasu bunga sebelum mendapati ia seekor ular tedung selar yang besar,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dia yang ketakutan terus memanggil suami, Azman Ariffin, 50, yang kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling untuk menangkap reptilia itu.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.12 pagi sebelum empat anggota bergegas ke lokasi.

“Setibanya di rumah tersebut, ular tedung selar dengan anggaran berat kira-kira lapan kilogram dan sepanjang empat meter dikesan berada di sekitar kawasan pokok bunga.

“Anggota mengambil masa kira-kira 20 minit dan reptilia tersebut berjaya ditangkap dengan selamat tanpa sebarang kecederaan kepada orang awam mahupun anggota bertugas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN