fbpx
Malam Kemuncak Seni 2026 diadakan bertujuan menepis stigma lapuk masyarakat yang sering beranggapan bahawa pelajar aliran teknikal hanya mahir dengan jentera, litar dan kerja lapangan.

Pelajar TVET juga mahir lenggok tarian tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA tidak diberitahu, siapapun tidak menyangka tarian zapin, lenggok gemalai inang dan rentak rancak joget itu sebenarnya dijayakan oleh para pelajar yang menuntut dalam bidang teknikal dan vokasional.

Hakikatnya, begitulah gerakan yang menghiasi pentas Dewan Al-Jazari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) sempena penganjuran Malam Kemuncak Seni (MKS) 2026 baru-baru ini.

Namun, setiap yang bermula pasti ada berakhir. Selepas hampir sedekad mewarnai kampus, program kokurikulum tarian tradisional di institusi berkenaan secara rasminya melabuhkan tirai pada tahun ini bagi memberi laluan kepada pemerkasaan program badan beruniform. Meskipun begitu, titik penamat ini diraikan dalam suasana yang cukup berbeza.

Lebih daripada sekadar sebuah acara perpisahan, MKS 2026 yang mengangkat tema Generasi Muda Penyambung Warisan Bangsa menjadi bukti nyata bagaimana mahasiswa program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mampu bertindak sebagai wira dalam memelihara dan mengangkat khazanah warisan bangsa.

Timbalan Pengarah Akademik PSA, Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman berkata, penganjuran MKS 2026 itu bertujuan menepis stigma lapuk masyarakat yang sering beranggapan bahawa pelajar aliran teknikal hanya mahir dengan jentera, litar dan kerja lapangan.

“Sebaliknya, program berskala besar ini digerakkan sepenuhnya oleh tulang belakang mahasiswa menerusi kolaborasi strategik antara Kelab Semarak Seni, Kelab Media PSA dan PSA Young Entrepreneur Club (PYEC).

“Keupayaan anak-anak muda ini menjadi nakhoda acara membuktikan tahap profesionalisme yang tinggi. Dari perancangan logistik hingga ke pelaksanaan malam gala menyerlahkan bakat kepimpinan pelajar.
“Ia sekali gus berfungsi sebagai medium pembangunan sahsiah dan jati diri, membuktikan bahawa organisasi pelajar mampu menguruskan sebuah festival seni dengan piawaian profesional,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Untuk rekod, malam kemuncak tersebut diserikan dengan penglibatan seramai 150 pelajar PSA berserta 40 pelajar jemputan dari politeknik dan kolej komuniti sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak.

PELAJAR Kokurikulum Tarian Tradisional PSA dinobatkan sebagai pemenang anugerah persembahan terbaik sempana Malam Kemuncak Seni 2026 di Politeknik Shah Alam baru-baru ini.

Pada malam itu, para penonton yang hadir dipersembahkan dengan kepelbagaian rentak tarian pelbagai kaum yang sarat dengan mesej silang budaya. Selain tarian tradisional Melayu, naskhah klasik turut dihidupkan kembali di atas pentas menerusi persembahan pantomim Hikayat Puteri Gunung Ledang yang jelas memaparkan daya kreativiti luar biasa dan penghayatan seni anak muda masa kini.

Seorang pelajar PSA dalam jurusan perdagangan, Aiman Marsya Allyssa Azman berkata, dia sangat bersyukur dan berbangga kerana kumpulan yang diwakilinya berjaya meraih anugerah persembahan terbaik.

“Melalui program seperti ini, kami bukan sahaja dapat mengetengahkan bakat dalam tarian tradisional, malah dapat memupuk keyakinan diri serta menghargai warisan budaya,” katanya.

Aiman Marsya Allyssa yang turut menerima anugerah Pelajar Cemerlang Kokurikulum Tarian Tradisional Melayu itu juga berharap lebih banyak program kebudayaan dianjurkan pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada rakan pelajar lain untuk mengembangkan potensi diri.

Nada yang sama turut dikongsi oleh seorang pelajar Kejuruteraan Elektrik, Haziqah Qurratuain Nizal Aswad yang dinobatkan sebagai penerima anugerah Mentor Terbaik (Tarian Melayu Asli).

“Penganjuran majlis seperti ini amat memberi impak positif kepada para pelajar kerana ia menjadi platform untuk mereka menonjolkan bakat dan meningkatkan kemahiran.

“Selain itu, program sebegini juga dapat memupuk semangat kerjasama dan kecintaan terhadap seni budaya dalam kalangan generasi muda,” kata Haziqah yang berharap usaha sedemikian diteruskan agar seni tradisional kekal relevan.

Berkongsi aspirasi PSA, Ahmad Aftas berkata, penganjuran program berkenaan adalah selari dengan visi utama pihak pengurusan PSA yang mahu melahirkan graduan TVET yang seimbang daripada sudut akademik, kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah.

“Ekosistem kampus ini turut diperkukuhkan lagi dengan penganjuran karnival niaga oleh PYEC PSA (Kelab Usahawan Muda) di tapak acara bagi memberi pendedahan asas keusahawanan kepada pelajar.

“Generasi Z dari aliran TVET ini telah membuktikan bahawa mereka bukan sahaja bakal memacu industri negara tetapi teguh berdiri sebagai pewaris yang memastikan warisan seni terus bernafas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN