fbpx
Di tengah hiruk-pikuk itu, lahirlah kosa kata baharu, ‘keledek’ dan ‘keladak’.

Kepada ‘keledek’ dan ‘keladak’, kenapa obses sangat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KATA orang, isu tular dalam media sosial lazimnya tidak bertahan lebih daripada tiga hari, paling lama pun seminggu, namun dalam kes terpencil, ada isu yang sudah bertahun-tahun selesai boleh kembali mendidih jika dendam dari pusara diseru semula oleh para pemegang saka.

Itu sekadar metafora, tetapi ada logika jika merujuk kepada suhu algoritma dalam Threads sekitar seminggu lalu apabila kisah bekas pasangan selebriti Fattah Amin dan Fazura menjadi kecoh dengan dua kem peminat, satu penganut Fattah dan satu lagi penyanjung Fazura.

Masing-masing bertelagah dan berdebat dengan teori dan metode semacam ahli falsafah yang sebenarnya tak ubah seperti ‘falsampah’ dengan fakta dan analisis tentang apa yang sebenarnya berlaku di sebalik ‘perang bahagian kedua’ pasangan yang sudah bercerai talak satu dua tahun lalu itu.

Semuanya bermula apabila Fattah mendakwa haknya sebagai bapa kepada anak mereka Nur Fatima Aisha seperti diputuskan di mahkamah telah dilanggar oleh Fazura.

Di tengah hiruk-pikuk itu, lahirlah kosa kata baharu, ‘keledek’ dan ‘keladak’.

Kedengaran lucu, hampir kebudak-budakan, tetapi di situlah ironinya, kreatif pada istilah, cetek pada wacana, satu ‘keledek’, satu lagi ‘keladak’, yang tidak-tidak sahaja.

Label ini bukan lagi sekadar gurauan, sebaliknya sudah menjadi lencana setia, tanda keahlian dalam dua kem yang berperang tanpa garis penamat.

Peminat hari ini tidak lagi sekadar menyokong, mereka membina identiti daripada siapa yang mereka puja.

Lebih menghairankan, sebahagian mereka berhujah dengan keyakinan seolah-olah tinggal serumah dengan Fattah Amin dan Fazura.

Setiap gerak-geri ditafsir, setiap diam dibaca, setiap tindakan dihukum, lengkap pula dengan ‘analisis dalaman’ yang kononnya berasaskan kebenaran.

Padahal, yang mereka pegang hanyalah serpihan cerita dari media sosial dan disokong pula rakaman-rakaman visual sebabak tidak tentu hujung pangkal.

Inilah obsesi yang kononnya atas nama kepedulian. Peminat berasakan mereka lebih tahu daripada artis walhal yang dipertahankan bukan lagi artis, tetapi ego sendiri.

Realitinya, apa juga keputusan, benar atau salah tidak mengubah apa-apa. Peminat membuang tenaga, masa dan emosi untuk sesuatu milik orang.

Semua orang sebenarnya kalah kerana dalam dunia pemujaan artis di media sosial, menang jadi arang, kalah jadi abu.

Paling pahit, yang dipertahankan mati-matian bukan pun kehidupan sendiri, tetapi bayang-bayang orang lain yang mereka anggap milik sendiri. Kasihan.

Pada akhir cerita, saat kisah tersebut diangkat menjadi laporan dalam penulisan artikel hiburan, wartawan dan media pula dipersalahkan kononnya memperbesar-besarkan cerita.

Begitulah arus sejalur kisah fanatik dunia hiburan di Malaysia yang berulang-ulang.

Obsesi mereka seolah-olah ‘persetankanlah perang walaupun dunia hampir runtuh’ yang penting artis pujaan diberi pembelaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN