fbpx
Gambar hiasan.

Hampir 20 peratus kekosongan MYFutureJobs tawar gaji lebih RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hampir 20 peratus daripada 96,700 peluang pekerjaan yang masih aktif menerusi platform MYFutureJobs menawarkan gaji melebihi RM5,000 sebulan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, hampir 40 peratus daripada kekosongan itu pula terdiri daripada pekerjaan berkemahiran tinggi, manakala lebih 30 peratus melibatkan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.

Menurutnya, angka berkenaan mencerminkan permintaan tinggi dalam kalangan industri terhadap bakat tempatan merentasi pelbagai sektor dan tahap kemahiran.

“Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 668,321 kekosongan jawatan telah diiklankan menerusi MYFutureJobs kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dengan 96,700 peluang pekerjaan masih aktif untuk dimohon rakyat Malaysia.

“Statistik ini membuktikan peluang pekerjaan terus tersedia merentasi pelbagai sektor dan tahap kemahiran,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ramanan berkata, kerajaan melalui Perkeso menyediakan sokongan menyeluruh kepada pencari kerja termasuk khidmat padanan pekerjaan, kaunseling kerjaya, semakan resume dan persediaan menghadapi temu duga.

Katanya, program latihan semula serta peningkatan kemahiran turut disediakan bagi membantu pencari kerja kembali memasuki pasaran pekerjaan dengan lebih pantas.

Selain platform digital, akses kepada peluang pekerjaan turut diperluaskan menerusi penganjuran Karnival Kerjaya MYFutureJobs di seluruh negara.

Sepanjang Januari hingga Mei lalu, sebanyak 2,989 program telah dianjurkan dengan penglibatan 86,594 pencari kerja.

Daripada jumlah itu, seramai 14,029 individu berjaya mendapat pekerjaan, manakala 15,809 lagi dipanggil menjalani temu duga pada peringkat seterusnya.

Kerajaan turut menyediakan Bantuan Mobiliti sehingga RM1,000 kepada pencari kerja yang perlu berpindah bagi memulakan pekerjaan baharu.

“Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso akan terus memperkukuh kerjasama dengan majikan dan pemain industri bagi memastikan lebih ramai rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti, meningkatkan kemahiran serta membina kerjaya mampan.

“Saya menggalakkan rakyat yang sedang mencari pekerjaan atau ingin bertukar kerjaya supaya memanfaatkan MYFutureJobs sebagai pintu masuk kepada peluang yang lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN