
PARIT – Mengorbankan karier dalam sektor hartanah di Lembah Klang bukan satu keputusan yang mudah untuk dilakukan, namun itulah sebahagian daripada perjalanan hidup seorang anak Kampung Bota Kiri, di sini.
Mat Rozlan Mohd. Daud, 56, berkata, pengorbanan yang dilakukannya hampir 20 tahun lalu itu demi menjaga orang tuanya yang sakit di kampung dan dia tidak menyesali keputusan tersebut.
Jelasnya, kerjayanya sebagai seorang kakitangan di sebuah syarikat pemaju perumahan bertukar 180 darjah untuk bergelar seorang pesawah di kampung halaman sendiri.
“Ketika pulang ke kampung pada 2008, saya sebenarnya sudah mempunyai pengalaman bekerja di ladang kelapa sawit, namun saya mengambil keputusan untuk turun ke bendang sebagai pesawah.
“Sejak itu, saya mengusahakan sawah padi milik keluarga berkeluasan 19.4 hektar di Kg. Bota Kiri ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di kampung berkenaan, semalam.
Cerita lelaki ini, selain mengusahakan sawah secara sendiri menggunakan traktor milik keluarga, dia turut mengupah pengendali traktor lain bagi membajak tanah dengan kadar bayaran dikenakan ialah RM900 bagi setiap dua ekar.
Bagaimanapun katanya, disebabkan kadar upah yang semakin meningkat saban tahun, dia mengambil keputusan memohon Skim Pembiayaan Pinjaman Tanpa Faedah dari Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) pada 2022.
“Alhamdulillah, pinjaman tersebut membolehkan saya menaik taraf jentera kepada yang baharu iaitu Kubota M9540 yang berharga sekitar RM115,000.
“Jentera baharu itu membuatkan produktiviti di sawah padi meningkat, bahkan waktu bekerja juga semakin pendek berbanding menggunakan traktor lama iaitu Massey Ferguson 265,” katanya.
Menurutnya, dia sebelum ini mampu mengerjakan sekitar empat hektar sawah sehari, namun jentera baharu itu membolehkannya memproses sehingga enam hektar tanah dalam tempoh sama.
“Bukan itu sahaja, penggunaan bahan apinya juga lebih efisien, sekali gus memberikan penjimatan kepada saya sambil membantu meningkatkan kualiti kerja sebagai pesawah di kampung ini,” katanya.
Bantuan diterima Mat Rozlan selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah flagship Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan).














