PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita mendalam susulan pemergian bekas Menteri Luar Iran, Dr. Kamal Kharazi yang disifatkan sebagai sahabat dan tokoh diplomasi unggul.
Menurutnya, berita pemergian tokoh tersebut amat menyedihkan, lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan kecederaan akibat serangan yang disifatkan sebagai keganasan Zionis.
Anwar berkata, beliau mula mengenali Kharazi ketika Allahyarham berkhidmat sebagai wakil Iran ke United Nations di New York dan hubungan itu kekal erat sepanjang tempoh memegang jawatan Menteri Luar.
“Beliau seorang yang berilmu tinggi dan memiliki keperibadian yang penuh kehangatan, sentiasa berfikiran mendalam serta berhemah dalam setiap urusan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Tambah beliau, dunia kehilangan seorang diplomat luar biasa, manakala beliau secara peribadi kehilangan seorang sahabat yang amat dihormati.
Katanya, pemergian Kharazi turut menjadi peringatan terhadap harga mahal yang perlu dibayar akibat konflik yang berpanjangan.
“Pemergiannya menjadi peringatan terhadap harga yang perlu dibayar akibat konflik ini. Peperangan ini perlu dihentikan segera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.














