MELAKA – Seorang penganggur didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membaling kerusi plastik ke arah isterinya sehingga cedera, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Hairi Majid, 48, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 41 tahun dengan cara memukul mangsa menggunakan kerusi plastik pada pukul 2 petang, 3 Mac lalu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Pengkalan Minyak Damai di sini. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara pasangan itu kerana mangsa memarahi anak mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) sindrom Down sewaktu memandikan dan menyiapkan keperluan.
Tertuduh kemudian membaling kerusi plastik kecil ke arah mangsa menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan tisu koyak selain bengkak di kepala. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.- KOSMO! ONLINE














