GEORGE TOWN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk jenama warisan di Pulau Pinang supaya memanfaatkan kemudahan pembiayaan kos rendah sehingga RM5 bilion yang diumumkan kerajaan.
Menterinya, Steven Sim berkata, pembiayaan yang ditawarkan pada kadar serendah tiga hingga lima peratus itu bertujuan membantu PKS beralih ke arah operasi berteknologi tinggi.
“Kerajaan telah mengumumkan sehingga RM5 bilion pembiayaan kos rendah untuk PKS bagi memperkasa peralihan ke arah operasi berteknologi tinggi, ekonomi hijau dan peralihan, automasi serta pendigitalan, selain menyokong sektor pelancongan.
“Dana ini akan disalurkan melalui semua bank berlesen, institusi kewangan yang ditetapkan serta institusi kewangan pembangunan, termasuk Bank Rakyat dan SME Bank di bawah Kuskop,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku Heritage Brands of Penang di sini, malam ini.
Buku yang ditulis oleh Tony Yeoh itu telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan turut dihadiri lebih 50 wakil jenama yang diketengahkan, penggubal dasar, pemimpin institusi serta rakan media. -KOSMO! ONLINE














