KUALA LUMPUR – Polis menerima tiga laporan berhubung dakwaan Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam pembelian atau pembiayaan hartanah mewah di New Jersey, Amerika Syarikat bernilai AS$13 juta (RM52.6 juta).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan.
“Kita telah menerima tiga laporan dan akan mengambil tindakan memanggil saksi- saksi berkaitan selain menyiasat sama ada akaun tular di media sosial itu palsu atau tidak.
“Setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberikan kerjasama yang baik dan kita belum menerima apa-apa perkembangan lagi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Perang Scam : Dua Pasuka, Satu Matlamat di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC dan pasukan yang berada di luar negara bagi menjalankan siasatan perkara berkenaan.
“Saya berharap isu seperti ini melibatkan nama- nama tertentu jangan dispekulasikan kerana kita memerlukan bukti-bukti yang kukuh untuk dikemukakan ke mahkamah,” jelasnya.
Terdahulu media melaporkan, Datin Seri Rosmah Mansor membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan beliau terbabit dalam pembelian atau pembiayaan hartanah mewah di New Jersey, Amerika Syarikat bernilai AS$13 juta.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menegaskan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan penggunaan syarikat sementara, struktur kewangan luar pesisir atau hubungan dengan individu serta entiti yang dinamakan dalam video yang tular adalah rekaan berniat jahat dan tidak berasas. – KOSMO! ONLINE














