fbpx
Noor Hisam bercakap pada sidang akhbar di Ipoh hari ini.

Keadaan di Buntong selamat, polis tahan tiga lagi lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Polis menafikan dakwaan yang menyamakan keadaan di Buntong seperti situasi di Klang susulan insiden pergaduhan yang mengakibatkan kematian seorang lelaki, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keadaan di kawasan berkenaan masih terkawal dan tidak berada pada tahap membimbangkan seperti yang digambarkan.

Katanya, kejadian itu hanya melibatkan perselisihan faham antara dua kumpulan dan tidak melibatkan ancaman yang lebih besar kepada keselamatan awam.

“Kita tidak mahulah (Buntong) disamakan dengan Klang, (keadaannya) tidaklah sebegitu. Di sini masih aman dan selamat lagi. Bukannya daerah Buntong sahaja tapi keseluruhan Ipoh dan negeri.

“Ia (pergaduhan itu) hanyalah perselisihan faham antara dua kumpulan membabitkan isu peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan perkara lain atau unsur lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan orang ramai terhadap kes jenayah di Buntong sehingga melabelkan kawasan berkenaan ‘bandar Klang’.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya telah menahan tiga lagi lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun di Menglembu pada pagi tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan adalah seramai tujuh orang,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 11.10 malam itu, seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas mengalami kecederaan parah akibat ditetak menggunakan parang.

Kejadian di premis kereta sewa itu berlaku ketika mangsa berada di lokasi berkenaan bersama rakan-rakannya sebelum diserang sekumpulan individu bersenjatakan parang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN