fbpx
Tinjauan CAP berhubung keadaan kawasan sawah di Kedah, baru-baru ini.

Pendapatan petani terjejas, CAP cadang salur bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan bantuan kepada petani khususnya di utara yang terjejas akibat kemarau berpanjangan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, cadangan itu bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung golongan tersebut dalam menguruskan kos sara hidup keluarga.

“Kita bimbang dengan kesan kemarau berlaku ia bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan petani, tetapi bekalan beras dan makanan untuk rakyat negara ini.
“CAP juga menggesa KPKM, jabatan dan agensi berkaitan melakukan perancangan dan bertindak lebih awal bagi menghadapi kemarau pada masa akan datang.

“Gesaan ini dibuat berikutan kejadian kemarau panjang yang melanda Kedah, Perlis dan Perak baru-baru ini menyebabkan berpuluh ribu hektar tanaman padi terjejas dan merosot lebih 60 peratus,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, Perlis menanggung kerugian mencecah RM2.7 juta akibat kemarau yang melanda kawasan sawah di negeri itu.

Beliau berkata, tinjauan CAP di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) baru-baru ini mendapati sawah kering kontang dan padi mati kekeringan disebabkan petani sukar untuk mendapatkan bekalan air.

Selain saliran MADA, sumber air dari sungai dan empangan Muda, Pedu dan Ahning juga berada pada paras rendah.

“Justeru, CAP meminta kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan mengekalkan kawasan tadahan air di samping membina sistem saliran yang berkesan dan menyediakan lebih banyak pam air untuk kegunaan petani ketika kemarau.

“Malah, kita juga mencadangkan supaya musim menabur benih ditetapkan bukan pada musim kemarau bagi mengelak tanah sawah kering kontang dan benih padi mati selain bekalan benih padi dan baja perlu diedarkan kepada petani mengikut masa yang telah ditetapkan.

“Ini supaya kerja-kerja persawahan dapat dilakukan serentak oleh para petani serta mudah diuruskan oleh jabatan dan agensi berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, benih padi tradisi dan cara penanaman tradisional juga wajar digunakan semula dalam keadaan perubahan iklim serta diyakini mempunyai ketahanan ancaman penyakit dan makhluk perosak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN