PADANG BESAR – Kos perubatan semasa wanita warga emas yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital King Fahad, Arab Saudi dianggarkan melebihi 160,000 Riyal Arab Saudi (RM170,310).
Anaknya, Siti Nur Ain Abd. Sanief, 31, berkata, kos sewaan katil ibunya, Halimah Ismail, 64, sahaja mencecah US$1,000 (kira-kira RM4,000) sehari sejak 14 Mac sehingga Ahad lalu.
Katanya, jumlah itu belum termasuk kos rawatan lain yang turut meningkat dari hari ke hari.
“Ini hanya kos sewaan katil, belum termasuk lain-lain rawatan dan ubatan. Angka itu sangat tinggi dan menambah tekanan kami sekeluarga untuk mencari dana membawa ibu pulang.
“Maklumat kos rawatan ini kami perolehi daripada kakitangan agensi umrah yang memaklumkan kepada saya dan adik, Muhammad Al Imran Abd. Sanief yang menjaga ibu di hospital,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ujarnya, kos keseluruhan kini dianggarkan lebih RM370,000 termasuk kos membawa pulang Halimah ke tanah air yang sebelum ini dianggar RM200,000.
Katanya, terdapat individu memaklumkan jika keadaan ibunya yang masih bergantung kepada oksigen semakin stabil, mereka mungkin boleh menggunakan pesawat Malaysia Airlines untuk pulang ke Malaysia.
“Sehingga kini, sumbangan ramai yang terkumpul berjumlah RM160,000 dan ia sedikit sebanyak membantu menampung sebahagian kos rawatan ibu.
“Ibu kini sudah sedar tetapi masih dalam keadaan intubasi serta bergantung kepada mesin ventilator dan belum dibenarkan keluar dari ICU,” ujarnya.
Katanya, terdapat ramai rakyat Malaysia di Arab Saudi menawarkan penginapan sementara untuk adiknya yang menemani ibu di hospital.
Katanya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis sedang membantu dan kini menunggu dokumen pengesahan rawatan Halimah daripada Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah.
“Terima kasih kepada pengamal media, pempengaruh serta individu di Arab Saudi yang berkongsi maklumat bagi membantu usaha membawa pulang ibu kami. Semoga Allah memberkati semua pihak,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun CIMB (7062689379) atau menghubungi Siti Nur Ain di talian 011-26575357.














