WASHINGTON – Wakil-wakil rakyat Parti Demokrat meluahkan kebimbangan mengenai kestabilan mental Donald Trump ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengeluarkan ancaman penuh sumpah seranah terhadap Iran serta menyeru agar beliau disingkirkan daripada jawatannya, lapor akhbar The Guardian.
Demokrat meningkatkan teguran mereka ketika presiden berusia 79 tahun itu menyampaikan ucapan yang disifatkan merapu dan tidak koheren, melontarkan penghinaan kebudak-budakan kepada sekutu AS dan dengan berani mengancam untuk melakukan jenayah perang.
Beliau menggunakan catatan media sosial Ahad lalu untuk memberi amaran kepada Iran agar membuka Selat Hormuz dengan menggunakan perkataan ‘sialan’, atau mereka ‘akan hidup di neraka’.
Ancaman itu ditingkatkan semalam, dengan Trump menyebut bahawa ‘seluruh tamadun Iran akan mati malam ini (semalam)’ jika Tehran tidak memenuhi tarikh akhir terbaharunya untuk bersetuju dengan perjanjian yang merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz.
Menjelang petang semalam, lebih 20 ahli Kongres Demokrat menyeru kabinet Trump untuk menggunakan pindaan ke-25 Perlembagaan untuk menyingkirkan presiden yang dianggap tidak layak memegang jawatan itu.
Rashida Tlaib dari negeri Michigan menulis di platform X: “Selepas mengebom sebuah sekolah dan membunuh gadis-gadis muda, penjenayah perang di White House mengancam pembunuhan beramai-ramai. Sudah tiba masanya untuk menggunakan Pindaan ke-25. Orang seperti ini harus disingkirkan daripada jawatan.”
Mark Pocan dari negeri Wisconsin menambah: “Pindaan ke-25 sekarang! Trump terlalu tidak waras, berbahaya dan tidak berada dalam keadaan yang baik untuk mempunyai kod nuklear!”
Yassamin Ansari, satu-satunya wakil Demokrat Iran-Amerika di Kongres berkata, beliau sangat kecewa dan terkejut dengan kekurangan tindakan daripada kabinet Trump.
“Wakil-wakil Republikan di Kongres hanya berdiam diri ketika Trump mengancam pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan pada dasarnya bercakap seolah-olah beliau berhasrat untuk menggunakan senjata nuklear di Iran.
“Saya menggesa Republikan untuk mengetepikan gabungan parti dan kesetiaan membuta tuli kepada Trump dan mengambil tindakan segera untuk menahannya,” kata Yassamin.
Meskipun Trump mengancam untuk menyasarkan infrastruktur awam di Iran yang melanggar undang-undang antarabangsa, bagaimanapun hanya segelintir wakil Republikan yang menyuarakan sebarang bantahan. Sebahagian besar dalam parti itu menyokong perang tersebut. – AGENSI














