ALOR SETAR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu keluarga kepada dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang meninggal dunia akibat lemas di Pantai Merdeka, Sungai Petani dekat sini kelmarin.
Fadhlina yang tiba di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kira-kira pukul 10.40 malam tadi turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20.
Jasad dua pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Jasmani IPG Kampus Perlis itu kemudian dibawa keluar dari HSB ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna kira-kira pukul 11.15 malam.
Mendiang Jia Siang dan Lin Siang seterusnya akan dibawa pulang ke Sarawak untuk disemadikan di sana pada esok.
Terdahulu, lebih 100 pelajar IPG hadir memberi penghormatan terakhir kepada jasad dua rakan mereka di Jabatan Forensik HSB.
Rata-rata mereka kelihatan sugul dan menangis selepas melihat jasad mendiang Jia Siang dan Lin Siang.
Kosmo! sebelum ini melaporkan aktiviti berkayak sekumpulan pelajar IPG bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas di Pantai Merdeka, Sungai Petani.
Dalam kejadian itu, dua pelajar terbabit dikatakan hilang selepas dipukul ombak sebelum mayat mereka ditemukan tersangkut pada pukat udang. – KOSMO! ONLINE














