DUNGUN – Kampung Rantau Abang di sini sekali lagi kecoh apabila dua ekor beruang matahari dilihat berkeliaran sejak lebih seminggu lalu.
Seorang penduduk, Rafiuddin Mamat, 36, berkata, dia melihat kelibat dua ekor beruang matahari berkeliaran di rumah bapa mentuanya ketika sedang membersihkan kawasan hadapan rumah sekitar pukul 3 petang, minggu lalu.
“Saya segera menyorok sebelum memerhati seekor daripadanya membuka salah sebuah keranda kosong yang diletakkan di hadapan rumah bapa mentua saya,” dakwanya ketika ditemui di Kampung Rantau Abang di sini semalam.
Rafiuddin berkata, selepas dua ekor haiwan berkenaan beredar, dia terus memeriksa keranda berkenaan dan mendapati terdapat sarang lebah yang penuh madu didalamnya.
“Beruang matahari terbabit mengambil madu yang terdapat di dalam sarang tersebut.
“Bapa mentua pembuat keranda, tak sangka salah satu stok keranda diletakkan di pekarangan rumah sudah menjadi tempat lebah bersarang,”dakwanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Rantau Abang, Atan Mamat Nor berkata, haiwan liar itu juga didapati telah mencuri minyak masak terpakai yang diletakkan di luar rumahnya baru-baru ini.
“Habis tong sampah rumah saya juga diselerakkan. Sebelum ini, dua ekor beruang matahari berjaya ditangkap Perhilitan masing-masing pada Oktober dan Januari lalu.
“Tidak pasti ia beruang matahari yang sama atau sebaliknya. Kemunculan semula haiwan liar ini membuatkan kami penduduk kembali tidak keruan,” katanya.














