KOTA BHARU – Suasana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peir Chih, Jalan Long Yunus di sini bertukar cemas selepas sebuah bilik darjah yang sudah dua bulan tidak beroperasi terbakar dalam kejadian di sekolah tersebut hari ini.
Kejadian disedari oleh pihak pengurusan sekolah terbabit kira-kira pukul 10.20 pagi selepas melihat asap keluar dari bilik darjah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zuzuki Safei berkata, anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan untuk memadam kebakaran.
Menurutnya, tindakan pantas anggota bomba berjaya memadam kebakaran yang melibatkan 60 peratus kawasan bilik darjah itu.
“Siasatan mendapati, bilik darjah itu digunakan untuk mata pelajaran pendidikan seni. Kawasan itu juga menempatkan perabot termasuk meja, almari dan bahan kesenian.
“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 11.22 pagi,” ujarnya.
Zuzuki memberitahu, kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE














