TUMPAT – Hajat 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk enam wanita yang membayar sebanyak RM8,000 seorang kepada kepada ejen untuk bekerja sebagai buruh binaan di negara ini tidak kesampaian selepas mereka dicekup semasa bersembunyi di dalam sebuah rumah transit di Chabang Empat di sini kelmarin.
Kesemua PATI berusia dalam lingkungan 19 hingga 34 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan serbuan di rumah tersebut kira-kira pukul 1.15 tengah hari.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua PATI itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah semasa serbuan dijalankan.
Katanya, siasatan mendapati, mereka memasuki negara ini menggunakan laluan tidak sah dari Thailand.
“Kesemua PATI itu dipercayai membuat bayaran sebanyak RM8,000 setiap seorang kepada ejen untuk masuk ke negara ini dengan dijanjikan pekerjaan sebagai buruh binaan.
“Warga asing itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Dearah Tumpat untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, kesemua PATI itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Radzi berkata, PGA menahan dua PATI warganegara Thailand termasuk seorang wanita pada Jumaat lalu semasa melakukan rondaan rutin di Kampung Kedap dekat Rantau Panjang.
Katanya, pemeriksaan mendapati, kedua-dua remaja berusia 16 dan 17 tahun itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah memasuki negara ini.
“Lelaki dan wanita itu mengaku bekerja sebagai tukang masak di sebuah premis makanan di Pasir Gudang, Johor sejak awal 2024,” ujarnya.
Beliau berkata, berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 5(2) Imigresen 1959/1963. – KOSMO! ONLINE














