PETALING JAYA – Musim cuti persekolahan selama dua minggu bermula 23 Mei lalu, ditambah dengan kehangatan sambutan Aidiladha yang disambut pada Rabu ini, mendorong warga kota mula pulang ke kampung masing-masing.
Cuti berganda yang merangkumi Hari Wesak serta Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh sama juga menyebabkan aliran trafik di seluruh rangkaian lebuh raya meningkat sejak kelmarin.
Sebahagian daripada 3.3 juta kenderaan telah mula menggunakan rangkaian lebuh raya utama di seluruh negara secara berperingkat terutama menuju ke Pantai Timur.
Migrasi besar-besaran itu turut melibatkan perantau di ibu kota serta Lembah Klang yang pulang ke kampung dengan menaiki perkhidmatan awam seperti bas ekspres.
Di Kuala Lumpur, jualan tiket bas sempena Aidiladha menunjukkan peningkatan dengan laluan ke Pantai Timur muncul antara destinasi paling mendapat permintaan tinggi.
Tinjauan Kosmo! di beberapa platform tempahan tiket dalam talian mendapati kebanyakan perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kelantan mencatatkan kadar tempahan tinggi sehingga banyak perjalanan habis dijual lebih awal.
Malah, sebahagian jadual perjalanan ke negeri itu didapati sudah tidak lagi mempunyai kekosongan sehingga menjelang sambutan Aidiladha, sekali gus menggambarkan trend perantau mula pulang ke kampung lebih awal.
Bagi laluan ke Terengganu pula, tiket didapati masih ditawarkan, namun jumlah bas yang tersedia semakin berkurangan dengan beberapa operator hanya mempunyai baki perjalanan terhad.
Keadaan hampir sama turut dilihat bagi laluan ke Kedah terutama Kuala Kedah, namun situasinya masih tidak seteruk laluan Pantai Timur.
Sebaliknya, laluan ke beberapa destinasi utama di sebelah utara dan selatan tanah air didapati masih mempunyai banyak pilihan tiket.
Antara laluan yang masih merekodkan kapasiti tinggi ialah perjalanan ke Johor Bahru, Melaka, Pulau Pinang dan Ipoh dengan jumlah tersedia dianggarkan antara 50 hingga lebih 400 tiket bergantung kepada operator serta waktu perjalanan.
Di Gua Musang, aliran trafik menuju ke pusat bandar semakin sibuk di beberapa lokasi sejak kelmarin susulan pertambahan kenderaan apabila perantau mula pulang ke kampung halaman.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota polis trafik digerakkan untuk memantau lalu lintas susulan pertambahan kenderaan di beberapa lokasi menghala ke bandar ini.
Katanya, anggota polis trafik ditempatkan di beberapa lokasi ‘hot spot’ termasuk di pintu masuk sempadan Pahang-Kelantan iaitu Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
“Hasil tinjauan semasa, jumlah kenderaan semakin, namun aliran trafik masih lancar dan tiada kesesakan teruk dilaporkan.
“Unit Kereta Peronda sudah membuat pemantauan berterusan di lokasi tumpuan dan kawasan ‘bottleneck’.
“Kita menjangkakan jumlah kenderaan akan terus meningkat dan pergerakan menjadi perlahan terutamanya di persimpangan lampu isyarat menjelang petang (kelmarin),” ujarnya.
Di George Town, Polis Pulau Pinang menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan memasuki dan melalui negeri ini sepanjang sambutan Aidiladha serta tempoh cuti panjang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail dilaporkan berkata, peningkatan jumlah kenderaan itu dijangka berlaku sempena sambutan Aidiladha pada 27 hingga 28 Mei ini, diikuti cuti panjang sempena Hari Wesak dan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang bermula 31 Mei hingga 2 Jun ini.














